Monday, May 28, 2012

Berdiri

Dah lama tak cerita pasal anak.

Buah hati Mummy, yang bila nak tidur mesti kena pegang orang. Usap lengan orang, main rambut orang. Baru boleh lena.

Makin lasak bila berjaga, makin banyak akalnya. Makin 'faham' sekeliling. Kami perlu semakin berhati-hati dalam berkata-kata, dan tingkah laku. Kerana ada si kecil yang sentiasa memerhati dan belajar.

Suka sangat tengok iklan. Tengah menyusu pun boleh berhenti bila iklan, paling suka iklan Euro 2012 yang lagu I'm Coming Home tu, sampaikan kalau tengah menyusu dan dia nampak hampir lena tiba-tiba iklan itu ditayangkan, Mummy cepat-cepat tukar channel ataupun 'mute' kan TV kalau tidak nanti dia bulat mata semula HAHA! Sabar jelah.

Suka panggil orang, buat aksi sikit, panggil kita suruh tengok. Bila boring je, panggil kita suruh layan. Bila nak tidur, gendeng-gendeng kat kita minta dimanja.

Mummy = Mama
Daddy = Dadda

Mostly, dia suka panggil Dadda, sebab Dadda yang suka layan. Mama garang :p. Tapi bila nak tidur malam, mesti kena ada Mama Dadda di kiri kanan baru akan tidur, kalau salah seorang tak ada, sanggup tunggu kot -__-

Suka kiss pipi kita. Datang-datang, senyum-senyum, kiss. Tapi lepas tu memang menjejeh air liur dia kat muka kita haiiii bertuah punya budak!

Sekarang ni, pantang ada tempat berpaut, laju je dia merangkak, panjat dan berdiri.


Kalau nak diikutkan, sejak dia 5-6 bulan hari tu lagi dah nak berdiri. Pantang dukung mesti dia keraskan kaki. But I don't want to encourage him, sebab masa tu dia belum boleh merangkak pun lagi. Mana boleh berdiri terus! Biar step by step, jangan skip satu pun.


Biar lambat asal selamat ye Sayang. Tak ada nak kejar apa pun, lepas ni dah boleh berjalan, jalan lah puas-puas tak ada siapa halang pun.



Masa ini nak cari playpen. Daddy memang nak beli playpen, sebab ringan untuk ditarik ke sana sini. Sekadar untuk keselamatan dan memudahkan Mummy nak buat kerja bila tinggal berdua dengan dia. Budak bertuah ni masih tidur dengan kami, sebabnya, boleh refer perenggan kedua di atas. Daddy cakap, "Tak apalah, masa inilah dia nak dengan kita, dah besar nanti, dah remaja nanti, mesti makin menjauh." Okay this is sad :'(

Dah tu kalau ada adik nanti macam mana T__T. Tak apa, yang itu akan difikirkan kemudian ;)


Kadang-kadang, dia berdiri selamba je lepas tangan dua-dua. Risau kami. Kaki awak tu belum kuat lagi la Sayang! Pernah je tergolek, lepas tu nangis. Dah berhenti nangis dia buat lagi. Memang takkan mengalah betul.


Khusyuk tengok TV dari playpen sementara tunggu Mummy siapkan air mandian :') Gambar wajib cuci letak dalam frame :D


Ammar Yusuf is mimicking Daddy's face while driving LOL!

Me, being an ordinary proud Mummy :)



"Tahukah anda apabila ada anak sendiri, anak sendiriah baby paling cute walaupun diletak anak David Beckham di sebelahnya." (BeautifulNara)



Thursday, May 24, 2012

Sekolah Rendah #1

Semua murid darjah 1 dikumpulkan. Tak ramai pun murid darjah 1 Sekolah Agama Al-Ehsan, untuk sesi pagi mungkin dalam 30 ke 40 orang. Begitu juga sesi petang. Bermakna, sesi pagi ada darjah 1 hingga 6, sesi petang juga begitu. Aku berada di sesi pagi, sebab Sekolah Kebangsaan dah sesi petang.

Ustazah datang, bawa susunan kad laporan pelajar yang diikat dengan tali. Kedengaran Ustazah itu merungut kecil, kerana tercampurkan kad laporan semua murid Darjah 1  sesi pagi dan petang sekaligus.

"Okay dengar sini, Ustazah akan panggil ikut nama kat repord card ini, siapa yang nama dia dipanggil datang depan ambil ya. Kalau tak ada tu, maknanya dia murid sesi petang lah. Faham tak?"

"FAHAAAAMMM UUUSSTAAAZAAAAHHHHH"

(Tak faham aku kenapa dulu kena berlagu-lagu bila nak jawab soalan atau nak bagi salam beramai-ramai)

Maka seorang demi seorang murid dipanggil, siap announce dengan kedudukan peperiksaan lagi, tapi tak ikut turutan lah.

"Muhammad Ali, nombor 6." macam itu contohnya.

Kalau nama yang dipanggil tiada yang menyahut, maka akan kedengaran suara kanak-kanak riang menjerit beramai-ramai, "Sekolah petaaaangggggg..!!"

Sampailah..

"Noorul Husna. Nombor 1"

Itu nama aku tu. Aku dapat nombor 1! Aku dapat nombor 1 yeay yeay!

Tapi. . . aku diam je. . . sebab. . . takut. . . . sebab. . . tak ada keyakinan diri nak pergi depan kelas. . . baru 7 tahun. . . penakut. . . loser. . . tak ada kawan. . . tak ada siapa kenal. . .

Tak sampai seminit, belum sempat aku habis berfikir nak pergi depan ke tidak, satu kelas bergema.

"SEKOLAH PETANNNGGGGG...!!" 

Aku pandang Ustazah, dengan harapan Ustazah tu cam aku. Budak pendiam yang selalu dapat markah penuh setiap ujian. Aku pandang penuh pengharapan.. Tapi. .

Ustazah tu tak nampak aku pun. . . hanya terus mengetepikan kad aku bersama kad-kad laporan untuk pelajar kelas petang yang lain. Dan terus sambung panggil nama pelajar seterusnya.


**********

Orang kata, kalau sampai besar kita ingat sesuatu kejadian yang berlaku berpuluh tahun dahulu, bermakna kejadian itu telah memberi kesan besar dalam hidupnya.

Entah. Tak adalah aku affected sangat dengan perkara itu. Tak adalah aku marah dengan Ustazah tu, tapi. . itulah aku ketika zaman sekolah rendah. Loser habis.

Sebab itu aku selalu cakap, dengan Suami, dengan kawan-kawan, dengan kau orang yang baca blog aku dari dulu, aku tak pernah suka zaman sekolah aku T_T


Wednesday, May 23, 2012

OKAY JE

Bila jadi emak-emak ni, secara tak langsung, mesti akan ada sekali dua (atau mungkin untuk sesetengah orang, ianya berlaku setiap masa), di mana kita bercerita tentang anak dan kita memberikan pandangan, pandangan itu dibantah dengan ayat ini.

"Dulu anak aku tak payah buat macam tu pun, OKAY JE."

"Anak akak dulu 3 bulan dah makan pisang lenyek, OKAY JE besar sampai sekarang.."

"Anak Makcik sorang pun tak pernah minum susu badan pun, OKAY JE."

"Alah kau ni control sangat anak kau nak makan apa, dulu aku belasah je bagi makanan macam apa yang aku makan. Takde pun nak asing garam gula. OKAY JE."

Pendek kata, semua benda yang aku tak buat, like tidur dalam buai, or letak anak dalam walker, or bagi susu formula.. ada je ayat macam ini. No offense ye, aku tak kata letak dalam buai tu tak elok, or letak dalam walker tu tak elok, or bagi susu formula tu tak elok. Sebab ilmu aku pun taklah seberapa untuk membolehkan aku beria-ia berhujah mengatakan ini tidak elok, itu tidak elok. Senang cerita, semua itu lebih kepada pilihan masing-masinglah, anak masing-masing pun.

Tapi aku cukup tak berkenan dengan ayat, OKAY JE.

Apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan OKAY JE? Dari segi apa yang anak dia OKAY JE?

Dari segi kesihatan?
Dari segi otak?
Dari segi perhubungan dengan ibu bapa, dengan orang sekeliling, dengan Allah?

Mungkin dia nampak sihat, tapi otak dia lambat. Lambat terima pembelajaran.
Mungkin otak dia bagus, tapi badan lembik senang kena penyakit. Tiap-tiap bulan mesti demam.
Mungkin otak dia bagus dan sihat tubuh badan, tapi kuat melawan ibu bapa, degil tak dengar kata, liat nak suruh solat, mengaji.


Itulah yang aku pernah bincangkan dengan Suami, ayat OKAY JE tu sangat subjektif. Dan tidak boleh digunakan sewenang-wenangnya. Tidak boleh senang-senang je kata anak dia OKAY JE, lalu menidakkan cara asuhan orang lain.

"Aku dulu takdelah beria-ia sangat macam kau bab jaga anak. OKAY JE dia sampai besar macam tu."

Kalau kau lahirkan anak hanya semata-mata untuk 'besarkan' dia je, tak kisah dia jadi apa pun asalkan dia membesar, memang OKAY JE lah macam tu untuk kau. Ibaratnya kita bagi anak makan asalkan kenyang je, tak peduli langsung berkhasiat atau tidak makanan itu asalkan kenyang perut anak tu. Apa faedahnya? Silap-silap, sudahlah tak berkhasiat, dapat penyakit pula. 

Biarlah anak membesar dengan didikan, asuhan dan pemakanan yang baik. OKAY pada kau, tak semestinya OKAY untuk orang lain. Mungkin kebetulan amalan/ajaran kau tu nampak OKAY untuk anak kau, tapi bila dengan orang lain, it turns out NOT OKAY. Kau takkan sanggup nak sama-sama tanggung akibatnya kan?

Aku hormati ibu-ibu yang berpengalaman yang cuba berkongsi ilmu, tapi jangan pandang ibu muda macam kami ini macam tak berilmu langsung. Aku sangat respect cara Mama, anak berderet-deret, cucu dah nak masuk 13 orang, kiranya ilmu dan pengalaman tu dah hebat sangatlah. Tapi masih membaca, masih cuba tambah apa yang kurang, dan sentiasa terbuka untuk menerima ilmu baru. Sebagai contoh, pasal walker. Kami adik-beradik dulu Mama letak je dalam walker, dan Alhamdulillah kami OKAY JE membesar sampai sekarang. Tapi bila dah tua ni, Mama baru baca kajian tentang keburukan walker terhadap perkembangan otak dan tulang bayi. Cepat-cepat Mama bagitahu aku supaya jangan beli walker untuk Ammar Yusuf. Tak ada pula Mama nak cakap, "Alah dulu korang semua Mama letak je dalam walker, OKAY JE besar sampai sekarang."

See?

Ibu-ibu muda perlu jatuhkan ego belajar dari ibu-ibu yang berpengalaman, tapi ibu-ibu yang berpengalaman juga janganlah segan nak rendahkan ego untuk menerima ilmu baru daripada ibu-ibu muda macam kami ini. Tak rugi pun, kita sama-sama belajarlah.  Teknologi makin pesat, kajian (research) makin banyak, makin berkembang, makin canggih. Setiap hari ada ilmu baru dipelajari. Tidaklah aku obsessed sangat dengan ilmu moden sampai nak tolak tepi terus amalan orang tua-tua, mana yang elok kita ambil lah, mana yang dirasakan tidak elok, kita tinggalkan. Kalau anak sulung kita dah formula fed disebabkan kurangnya ilmu atau masalah-masalah lain, tidak salah kalau anak kedua kita cuba breastfeed pula, improvise sikit. Janganlah cakap, "Ala anak sulung aku dulu tak menetek pun, elok je." Jadikanlah diri kita hari ini lebih baik dari semalam, tahun ini lebih baik dari tahun lepas,  takkan nak hidup di takuk lama je sampai bila-bila, hanya kerana hidup kita sekarang nampak macam OKAY JERRRR.





Wednesday, May 16, 2012

Mama the SuperMama.

"Ma, English Dikna dapat highest dalam kelas hari ni."

"Yeke? Baguslah."

Mama tak cakap tahniah pun. Aku pun tak tunggu Mama cakap tahniah pun, sebab tahu Mama bukan jenis macam itu. Masuk bilik air nak mandi, Mama tengah basuh baju dalam bilik air yang sama. Aku mandi macam biasa, basuh rambut. Shampu ala kadar. Tiba-tiba Mama datang,

"Apa shampu tak rata ni.." Lalu tolong aku shampu, serata kepala. Mama jirus air perlahan, "Tambah air sikit, biar lagi banyak buih. Nanti dah bilas bersih pun, cuba gonyoh balik rambut, kalau ada buih lagi, bilas lagi." Bila Mama ratakan shampu sampai ke leher, aku ketawa sebab geli. Mama pun ketawa. Seronok, lagi seronok daripada dapat markah tertinggi bahasa Inggeris dalam kelas 2 Tanjung.

**********

Di suatu malam yang hening, di blok 5 Seksyen 7, Shah Alam.

"Husna, rumah kau yang mana? Tak jumpa lah. Banyaknya flat kat sini."

"Eh Mama datang sini ke? Ada apa?"

"Bagi direction jelah dulu."

Sampai-sampai, rupanya Mama dengan Baba datang bawa telur, ubi kentang, ikan bilis beras segala. Adoi. Baru teringat minggu lepas cerita dengan Mama dah 2 hari dinner makan Maggi je. Nama pun student, duit PTPTN dah belanja habis, hujung bulan makan Maggi. Masa tu Mama cuma berleter sebab boros tak berjimat cermat, tak ada cakap pun nak datang. Hee.

"Mama ni ha tak habis-habis ajak datang." Baba berleter.

Kelakarlah Mama ni.


**********

Aku dengan Mama, tidaklah rapat mana semasa kecil. Sebab aku rebel. Banyak buat masalah, banyak memberontak, mulut juga celupar. Bila sekarang dah jadi emak, baru aku sangat-sangat faham, kenapa Mama garang sangat dulu. Dengan adanya anak macam aku ni, siapa yang boleh bersabar?

Kami jadi rapat, sangat rapat bila aku dah masuk universiti. Bila dah mula duduk asrama. Boleh kata setiap hari call Mama. Semua pun Mama. Sampai ke universiti pun masih report dengan Mama markah ujian, kalau markah rendah, memang basah telefon tu dengan air mata. Kalau tinggi, biasalah, ceria habis.

Kami terlalu rapat, sangat.

Bila dah kahwin, bila jarang balik, Oyah pun SMS. Mama dah 2-3 kali tersilap panggil dia Husna. Dan of course, Mama takkan call aku tanya bila nak datang, atau bagitahu dia rindu.. Mama is always Mama. Sedihnya masa itu. Sebab jarak Puchong dengan Kampung Batu tu bukannya jauh pun, tapi. . .

Mama selalu rasa aku masih kecil. Sebelum kahwin dulu (walaupun dah 23-24 tahun), kalau tengok movie omputih yang ada adegan yang tak senonoh sikit, mesti Mama tak bagi tengok. Hee. Dan lepas aku kahwin, bila Oyah sibuk cakap dia pun nak kahwin, Mama cakap, "Kau pun nak kahwin awal? Nak tinggal Mama cepat-cepat macam Kak Una?" Awal ke aku kahwin, umur 25 tahun kot T__T

Bila giliran Mama untuk jaga Ammar Yusuf (Sabtu yang mana Hanis ada kelas), mesti, MESTI, Mama akan masak makanan kegemaran aku. Masak lemak telur itik. Mama rasa itu makanan kegemaran aku, sebab setiap kali Mama masak itu mesti aku akan melambung-lambung puji sedap. Padahal, semua masakan Mama pun memang kegemaran aku. Hehe.

Tapi kalau kebetulan hari itu ada Oyah dan Man (anak-anak yang jarang balik), memang kami compete la makanan kegemaran siapa yang Mama akan masak.

Oyah - Nasi lemak sotong.
Man - Masak lemak ikan tongkol (Mama nampak Man tulis ini dalam buku biodata dia masa sekolah rendah kahkahkah).

Biasanya Oyah la menang, dasar anak bongsu.

Mama bukan jenis memuji anak, Mama bukan jenis cakap I love you/I miss you dengan anak, Mama bukan jenis sporting pasal boyfriend girlfriend (tapi masih boleh bercerita pasal boyfriend, cuma Mama bukanlah jenis moden yang selamba bagi anak bawa balik boyfriend ke rumah dia), Mama bukan jenis mesra dengan orang yang dia tak berapa kenal, I can say that Mama agak pendiam bila bersama orang yang kurang dikenali. Mama susah nak lepaskan anak-anak pergi aktiviti sekolah like camping/jungle tracking, Mama takkan, TAKKAN bagi anak perempuan tidur rumah keluarga teman lelaki, in fact, tidur rumah kawan perempuan pun Mama susah nak lepas T_T. Mama jarang ikut hantar anak ke asrama, jarang datang melawat, jarang join aktiviti yang melibatkan ibu bapa di sekolah mahupun universiti. Mama pernah cerita, sekali je dia pernah ikut hantar anak belajar jauh-jauh, masa itu nak hantar Abang Saiful ke sekolah Tahfiz di Terengganu. Mama menangis sepanjang perjalanan. Mungkin itulah sebabnya.

Tapi, Mama tunjukkan kasih sayang dengan cara lain, dengan perbuatan, masakan yang sedap-sedap, doa yang tidak pernah putus. Cara Mama mengasihi dan menyayangi kami adik beradik, hanya kami yang mengetahui. Hanya kami yang memahami.


At the hospital last couple of months, Mama tertidur baca novel chick-lit Oyah, sementara tunggu Baba solat. I wonder if I can take care of my husband, the way Mama takes care of Baba.

Walaupun Mama garang dengan kami adik beradik semasa kecil, tak pernah sekali pun dengar Mama meninggi suara dengan Baba. Itu aku cuba ikut, walau macam mana bengang dengan Suami, takkan aku tinggi suara pada dia. Baik merajuk diam-diam je. Eh.
 
 
Mama with all the daughters.


A bouquet of carnation from my little brother, Lah, for Mother's Day. Mula-mula dia nak beli kek, call Mama, Mama berleter.

"Kau ni, Mama tengah diet sekarang, tak payah la beli kek." Mama memang sekarang tengah keep fit, hari-hari lari atas treadmill 40 minit hebat betul. Aku ni lari 10 minit pun dah semput T_T

"Habis tu Mama nak apa?"

"Tak payah beli apa-apa, balik je. Banyak Mama masak ni."

Lepas tu bergaduh pula dengan aku kat WhatsApp. Sebab asalnya aku yang nak beli kek sebenarnya (sebab tak ada idea nak bagi apa dah tssk). Ala Mama tu kalau tanya dia, memanglah semua pun taknak. Dengan Mama ni, kena terus beli je, jangan ditanya-tanya. Heh.

"Lah, aku nak beli kek untuk Mama tau. Kau jangan beli."

"Alaaaa aku nak beli la, dah kat depan Baskin Robbins dah ni."

"Ah tak payah tak payah, Baskin Robbins dah la tak halal."

"Pandai je kau tak halal, halal la"

"Tak halal la wey. Aku tahulah. Tak payah beli, aku dah beli pun kek ni. Kau beli la kasut ke, bunga ke."

"Hmm. Aah kan, beli bunga lah."

....

It takes extremely a lot of effort to raise kids like us, Ma. I finally got you. I finally understand you. You're amazing, truly amazing.


I love you, Mama.



Monday, May 14, 2012

Kesiaaan Dia...

Dulu, masa zaman bujang dulu, selalu sangat dengar Mama cakap, "Kesiaaannnn dia.. " tiap kali usap kepala Asha masa dia tidur. Oh, Mama memang jaga Asha dari baby. Masa tu, rasa macam pelik, kelakar pun ada. Sebab, macam tak ada sebab pun. Tiba-tiba kesian. Kadang-kadang tergelak-gelak aku dengan Oyah tanya Mama,

"Apa yang kesiannya Ma? Bukannya kitorang dera dia ke apa.."

Mama jawab, "Yelah.. Kesian dia.."

Laaa Mama ni. Itu je jawapannya? Apa yang kesiannya??? Elok je tengok dia tu, elok je makan main semua. Happy je dia. Apa yang kesiannya? Masa itu kami rasa Mama is just being an overly protective grandmother. Apa yang nak dikesiankan entah.

Until I have my own child.

Betul lah. Setiap kali usap dan cium kepala dia masa tidur, setiap kali kita renung wajah polos si kecil yang sedang nyenyak tidur, mesti akan tersebut di bibir, atau paling tidak pun mesti akan terlintas di hati..

"Kesiaaann dia.."

Now I really sound like my mother. Now I feel her. Now I got it, it's really an indescribable feeling, tak tahu nak explain macam mana.

Tapi hati memang rasa belas sangat setiap kali tengok dia tidur. Rasa macam.. kesian.

Entah.
Rasa macam singkatnya masa dia habiskan dengan kita setiap malam.
Rasa macam cepatnya dia membesar, tanpa kehadiran kita di sisinya setiap masa.
Rasa tertanya-tanya, cukupkah apa yang aku bagi pada dia. Cukupkah susu dia, makanan dia, permainan dia.
Gembirakah dia hari ini.. Selesakah dia.. Cukupkah perhatian yang aku berikan pada dia....




Mommies out there, biasa tak rasa macam tu?
:'(




Saturday, May 12, 2012

Keeping My Heart Protected

"Would you rather be hurt by the truth, or comforted with a lie?"

Siapa-siapa pun yang ditanya soalan itu, mesti akan pilih yang pertama. Termasuklah aku (dulu). Biar benda itu melukakan hati, asalkan aku tahu kebenarannya.

Tapi, semakin menginjak dewasa, semakin kita mengenali dunia, aku mula bertanya diri sendiri. Am I really, like seriously, can bear with the truth all the time?

Bila ada Suami, ada anak, aku merasakan tidak semua perkara aku perlu tahu. Tidak semua realiti aku perlu hadapi. Tidaklah bermakna aku mahu terus hidup dalam fantasi, tidaklah bermakna aku merelakan diri ditipu setiap masa. But sometimes, the less you know, the better.

Dulu, aku membiarkan perasaan ingin tahu aku menguasai diri, terlampau inginkan kebenaran, terlalu inginkan realiti. Supaya aku tidak tertipu, supaya tidak rasa dipermainkan. Tapi, untuk apa? You know how curiosity kills? Almost always, setelah aku di'hidang'kan dengan kebenaran, mesti, MESTI, akan terlintas ayat ini dalam hati aku:

I WISH I DIDN'T KNOW.
I WISH I NEVER KNOW.


When someone came to me and said;

"Somebody wrote something very nasty, I think she refers to you. Let me show you this."
 Please don't. I'm not interested.

"Babe tengok tak kes budak kena dera tu? Dahsyat gila siot. Menangis aku tengok. Jap aku bagi link."
Tak perlu. Aku taknak tengok.

"Tahu tak hari tu dia kutuk kau. Tahu tak dia cakap apa?"
Tak apalah. Aku taknak tahu.

"Aku tengok hari-hari dia asyik cakap pasal kau je kat status dia. Tak perasan ke?"
Fine, aku unfriend sahaja. Kenapa nak simpan orang macam ini sebagai kawan? Buat semak kepala sahaja.

Aku tahu tahap kekuatan aku, baik luaran mahupun dalaman. Aku mudah terbawa-bawa, aku tidak mudah melupakan. Hati aku kecil sahaja, rapuh pula. Maka aku perlu 'jaga' hati aku ini.

Dulu pernah tengok video kucing kena dera pun, seminggu aku terbayang-bayang.
Dulu pernah aku berminat sangat nak tahu apa yang haters cakap pasal aku, maka setelah tahu, siang malam aku terbayang, siang malam aku terfikir-fikir mana salah aku.
Dulu aku suka sangat nak baca berita kejam-kejam di surat khabar tabloid, malah pernah basah surat khabar dengan air mata aku bila terbaca kisah bapa yang terpaksa mengeluarkan mayat anak-anaknya seorang demi seorang yang mati lemas tersekat di batu sungai.

Sumpah, aku benci tabloid. Katalah apa sahaja, katak bawah tempurung, tidak tahu apa yang terjadi sekeliling. Tak apalah, kerana hati aku tidaklah sekuat mana.

Maka, tidak tahu adalah jauh lebih baik. Sebab, untuk apa aku perlu tahu? Okay katakan aku tahu. Selepas itu apa? Okay aku boleh berjaga-jaga dengan dia. Selepas itu apa? Aku terus berjaga-jaga sampai timbul rasa benci pada dia, rasa geram, rasa nak balas balik, rasa nak hebahkan keburukan dia pula. Selepas itu apa?

I don't want to live in hatred. I don't want to be surrounded with negative vibes. Aku kesian pada orang yang sentiasa hidup terlampau berjaga-jaga, yang selalu rasa ada orang nak jatuhkan dia, sentiasa rasa ada orang benci dia. Percayalah, ignorance is bliss.

Me:
"Dulu Abang panggil ex Abang apa?"
"Kenapa Abang putus dengan ex Abang dulu?"


Him:
"Apa entah B ni tanya benda bukan-bukan je.."

I'm glad he choose not to answer. Because the truth is, I don't really wanna know. Tak nak tahu pun. Kadang-kadang aku rasa biarlah aku tidak tahu langsung the dark side of him, sampai mati pun. Supaya aku mati dalam keadaan sangat mencintai dia, menyanjung tinggi dia, dan beranggapan baik terhadap dia. Live life to the fullest, welcoming positive vibes, lihat kebaikan orang dan perbaiki keburukan sendiri.


Just go with the flow, and stay happy.

....

However, the down side of an ignorant person like me, apabila sesekali disingkap kebenaran, aku akan sangat-sangat 'tertampar'. I feel a sudden pang and totally devastated.

Jatuh terduduk, tersungkur. Hancur hati aku, berhari-hari. Mungkin berminggu-minggu. Disebabkan terlalu berpandangan baik pada keadaan sekeliling. Terlalu rasa dunia ini indah semata.. Dan kepercayaan yang aku pernah ada pada dia/mereka, hilang. Terus.







Thursday, May 10, 2012

Bucket List #1: Learn To Swim

Masa zaman bujang dulu, kalau pergi holiday dengan family, aku adalah watak tukang jaga barang-barang di tepi swimming pool, watak yang duduk bawah payung tepi swimming pool bahagian kanak-kanak, act pretty with big sunglasses holding a bimbo magazine in my hands, dan sememangnya aku merupakan orang harapan untuk tolong tengok-tengokkan anak-anak buah sementara orang dewasa lain bergembira berenang ke sana ke mari T_T

Well, I always planned to learn to swim, tapi kalau setakat planned tanpa bertindak, memang takkan jadi apa pun lah ye dok? Until one fine day on the way to office, my husband and I were having conversation about health and body that makes us realized how passive our lifestyle now. Bekerja dalam office berhawa dingin menghadap komputer, what do you expect?

After considering several options, we decided to learn swimming! For Hubby, it is more to re-learn, sebab dia pernah tahu berenang cuma teknik mungkin tak berapa betul sebab belajar sendiri sahaja. For me, memang start from zero la. Tak pernah tahu langsung.

Hubby was super excited, 2-3 hari asyik Google pasal swimming class je. Kami mencari kelas yang berdekatan, kalau boleh nak kelas malam lepas waktu pejabat dan of course, not to costly la. Rata-rata memang mahal nau, ada yang RM50 per class lagi tau. Unless kalau pergi kolam renang awam la, yang itu memang murah. Alhamdulillah, hasil usaha Suami yang tak berputus asa mencari, akhirnya kami jumpa satu tempat yang sangat-sangat ideal, agak murah (compare to other places) and very flexible.

Fee per person = RM300 for 12 classes. 1 class per week, 1 hour for each class. Total period is 4 months.
Swimming attire = Flexible. Tak perlu nak pakai swimming suit pun, boleh je kalau nak pakai t-shirt and tight ke apa (tapi aku beli juga swimming suit untuk menaikkan semangat, mahal pula tu! Terpaksalah guna sampai lunyai supaya tak rasa rugi sangat T_T)

The best part is, it is located very near to our house, 5 minit je perjalanan HEHE syukur syukur. Kami ambil setiap hari Rabu, 8 - 9 malam. Ammar Yusuf ditinggalkan sebentar bersama Kak Ha (she is more than happy to babysit that cheeky baby :D)

Me at the very first day (mid February). Punyalah excited boleh terapung kehkeh. First day lebih kepada belajar teknik pernafasan dan apungkan badan, which is totally different than our practice in our whole life. Usually kita breath melalui hidung dan lepaskan di mulut kan? Tapi untuk swimming, kita kena sedut kaup udara masuk dalam mulut (ikut konsep belon, bila udara masuk maka akan jadi ringan dan mudah terapung) dan lepaskan melalui hidung. Susah juga awalnya, sebab lain dari amalan seharian kan?

Hari pertama tu memang seganlah jugak. Sebab. . semua pun budak-budak je tau T_T. Mostly Chinese la. Satu kelas tu can be up to 5 people. Pernah ada lebih dari 5 orang, dan pernah juga kami berdua je dalam tu. Romantik komedi la sikit bila berdua. Tapi, awal-awal tu memang malu kot, yelah bayangkan kau bagak kat tengah-tengah baru nak belajar breathing, dikelilingi adik-adik umur 5-6 tahun yang amboi bukan main show off lagi dah pandai berenang tssskkk..

Lesson #2: Pergerakan kaki untuk teknik Breast Stroke (Kuak Dada).
Lesson #3: Pergerakan tangan dan kaki untuk teknik Breast Stroke.
Lesson #4: Pernafasan, pergerakan tangan dan kaki untuk teknik Breast Stroke (I took almost 4 weeks for this T_T)
Lesson #5: Belajar teknik Freestyle (Gaya Bebas)
And it goes on until kita pandai both, Breast Stroke and Freestyle.

Nampak memang mudah, bila Coach tu demo nampak macam senang je. Tapi.. Bila cuba sendiri. . . There's one time aku memang macam nak give up sangat, sebab Suami dah advance ke next lesson, aku masih terkial-kial di lesson yang sama. But my husband is really such a darling, I always think I can never make it if it's not because of him. He keeps on supporting, keeps on commenting on what I did wrong, keeps on showing the right way to do. Sometimes I think he is a better coach than the Coach. Mungkin sebab dia lebih kenal kita kot ;)

"Push your leg harder, Sayang."
"Masa nak ambil nafas tu push your hands ke bawah instead of ke belakang, then only badan boleh tertolak ke atas."
"You can do it, just relax. Jangan stress-stress."

Memang that's the key point pun. Kena relax. Baru badan lebih ringan. Swimming without stress.

Hehe video malam tadi, recorded by my husband. Please excuse dinding pagar yang horror :/ This is me swim a Breast Stroke. Ala Breast Stroke je pun. Patutnya senang je ni, apasal entah aku ni lama betul baru dapat master the technique. Hubby dah sampai Freestyle dah pun sekarang. Takpelah, kalau tak sempat belajar Freestyle, taknak tambah kelas kot, nak suruh Hubby ajar saja. Our Coach cakap, banyak swimming class lain dia akan start terus dengan Freestyle instead of Breast Stroke. But based on what I see, Freestyle is even more difficult kot.


I love this activity. Berenang adalah senaman terbaik sebab ianya meliputi semua anggota badan dan juga merangsang otak. After several classes, Hubby pun dah start compliment, "Eh dulu tengok B pakai seluar tu ketat je, sekarang dah loose la." (I always have issues with my thigh, kalaupun kurus macam mana pun - even masa putus cinta dulu yang berat badan turun almost 10kg, peha tetap besar. I think it's genetic :p). Perasaan dipuji Suami tu, haaa orang dah kahwin je tahu HAHA. Lain tau berbanding kena puji dengan pakwe, yelah dia yang tengok kita siang malam kan. HEHEHE. And of course, thanks to breastfeeding too. Memang penurunan berat badan tu lambat, tapi berhasil. Dan selain daripada sebab kesihatan dan kecergasan, inilah masanya untuk spend masa dengan suami tercinta. Best tau! Lepas ni kami plan nak register kelas Mandarin pula. Hubby dah siap survey merata dah kelas, kita yang cadangkan, dia pula yang excited :')

Now I officially can swim! Bucket List #1, CHECKED!


Tuesday, May 8, 2012

Penyediaan Bubur Bagi Ibu Bekerjaya

Assalamualaikum,

Kalau cakap pasal penyediaan bubur ini, setakat yang aku tahu ada 3 cara. Ketiga-tiganya pun aku dah cuba, tapi hanya satu cara yang aku rasa.. ermm taklah senang, tapi mungkin kira terbaiklah untuk aku dan juga si anak.

Teknik 1
Ambil 1 pot beras, basuh sebersihnya. Goreng tanpa minyak sampai kering (tak perlu sampai keperang-perangan pun, asal kering sahaja). Angkat, dan blend kering. Guna blend kecil tu sahaja. Sepatutnya lepas blend tu, beras tu akan jadi sangat halus, hampir-hampir macam tepung tu. Simpan dalam bekas kedap udara, dan letak dalam fridge untuk elakkan dari berkulat. Bila nak pakai, ambil 2-3 sudu masuk dalam periuk atau slow cooker. Masak sampai jadi bubur, kemudian masukkan kiub puree sayur-sayuran yang telah dibuat lebih awal tu. Siap untuk dimakan.

Teknik 1 aku gagal, sebab mungkin aku blend tak cukup halus, ataupun masa goreng/sangai tu tak kering habis, maka bila nak buat bubur tu jadi berketul-ketul. Si kenit tu gigi dah lah tak banyak, risau tercekik pula dengan nasi berketul-ketul tu.

Okay dah, takkan guna cara ini lagi.

Teknik 2
Ambil 1 pot beras, basuh sebersihnya. Kemudian masukkan air yang banyak dalam periuk yang sama, jumlah air dalam 3/4 periuk tu. Masak sampai beras tu kembang, dalam 20 minit kot. Angkat, masukkan dalam blender biasa tu. Masuk air rebusan tu sikit, dalam 3/4 dari ketinggian nasi tu dalam blender, bukan 3/4 dari ketinggian blender tau! Air tu jangan lebih dari kuantiti nasi, senang cerita, sebab kalau tak akan cair sangat. Kalau cair mungkin sesuai untuk 6 bulan, masa baru-baru nak kenalkan makanan pejal. Lepas blend, simpan dalam fridge. Kalau bekukan, bolehlah tahan seminggu dua. Kalau fridge bawah, 2-3 hari kot. Bila nak pakai, scoop dalam 2-3 sudu nasi, ambil 1-2 kiub puree, panaskan sekaligus.

Teknik 2, pernah cuba. Tapi.. entah. Rasa macam, nak buat lebih baik. Maka aku cuba pula Teknik 3 ini.

Teknik 3
Ambil 1 pot beras, basuh sebersihnya. Masukkan air yang banyak (seperti Teknik 2 tadi).


Jumlah air lebih kurang begini, lebih pun tak apa, nanti nak blend tak perlu masukkan semua pun.

Rebus dengan api paling kecil sampai beras kembang (lebih kurang 20 minit). Dalam pada itu kalau nak masuk ikan atau ayam atau daging pun boleh. This time, Mummy guna salmon fish. Kaya dengan omega 3 dan 6. Wah macam iklan TV. 


Bahan-bahan bubur Ammar Yusuf pagi tadi: Fresh carrot, potato, salmon fish and 2 cubes of broccoli puree yang sudah dibuat lebih awal (last week kot).

Kacau sekali sekala, takut hangit atau nasi melekat di periuk (so far tak pernah jadi lagi). Sometimes lepas masukkan beras dan air, tutup periuk, pergi solat Subuh kejap ataupun iron baju ke. Hee multitasking sangat nasib baik tak hangit. Okay then, masukkan sayuran segar, kalau sayur jenis keras carrot/potato tunggulah lagi 10 minit, kalau sayur lembik macam sawi bayam tu, 3-5 minit pun dah cukup kot.



Bila dah nampak macam dah masak dan ikan pun dah macam 'flaky' (macam senang je terkopek), tutup api, tunggu sejuk sekejap (aku tak pernah pun tunggu sejuk, tak ada masa huuu). 

Then, blend semua sekali dengan sedikit air rebusan/sup tadi.


Kadang-kadang tak tambah air pun, sebab masa ceduk dari periuk tu tercampur dengan air sekali, so kalau tambah air lagi jadi cair sangat.


Lepas blend tu biasanya aku panaskan semula dalam periuk untuk lebih hygienic. Masa ini bolehlah masukkan puree kalau ada, kalau tak ada pun, just panaskan sahaja.


Bila dah menggelegak, tutup api, sebahagiannya aku masukkan dalam thermos untuk diberi kepada babysitter (cukup untuk breakfast dan lunch Ammar Yusuf), sebahagian lagi masuk dalam tupperware, simpan dalam fridge untuk makan malam dan bekalan esok pula.


Rutin ini aku buat 2 hari sekali. So Ammar Yusuf hanya makan makanan beku yang dipanaskan selang sehari sahaja, lebih nutritious kot. Dah tajuk entri pun Penyediaan Bubur Bagi Ibu Bekerjaya, kalau suri rumah sepatutnya boleh buat lebih baik lah, hari-hari masak makanan berlainan, hari-hari bagi makanan fresh untuk anak no more makanan sejuk yang dipanaskan. Kan?

Menu dia tu aku cuba tukar-tukar juga. Setakat ini, menu yang pernah dicuba lebih kurang beginilah;

Rice + chicken + broccoli + carrot + raisin
Rice + serbuk bilis + cauliflower + spinach + kurma
Rice + salmon + carrot + cauliflower + sweet potato
Rice + chicken + sawi + appricot + potato

Apa lagi eh? Lebih kurang beginilah. Anak bujang I walaupun masih kerap menyusu badan, tapi suka makan! Mesti sebab dah terbiasa dengan bermacam-macam perisa dalam susu tu, dah Mummy pun suka makan macam-macam! HAHA.. Itulah dia, tukar-tukar, mix and match, yang pasti I nak biasakan dia dengan semua jenis sayuran, semua jenis makanan, takdelah cerewet nak prepare bila besar nanti ;)

That's about it. Simple sahaja kan? Banyak juga I tiru resipi Annabel Karmel tu, tapi dimodifikasikan ke bentuk yang lebih keMelayuan la HEHE. Resipi dia banyak pakai cheese, banyak pakai fresh milk (susu lembu), I wonder baby below 1 year old boleh ke tak consume fresh milk. So far, menu utama Ammar Yusuf masih berasaskan nasi dan masih lagi makanan rebusan, belum lagi goreng-gorengan. Nanti Mummy dah beli olive oil, kita try yang goreng-goreng pula ye Sayang. Ingat nak try juga makanan barat seperti baby pasta ke, bolognese or makanan yang dicampurkan dengan cheese dan sebagainya. Asyik nasiiiii saja Mummy bagi Ammar Yusuf. Nanti besar jadi macam Grandpa (Baba) pula karang, hari-hari mesti makan nasi, walaupun hari raya yang penuh ketupat lodeh laksa segala pun, nasi mesti ada T_T



Thursday, May 3, 2012

Sembilan Bulan

Dah merangkak sangat-sangat laju. Serius letih mengejar.
Dah boleh duduk steadily. Senanglah kalau nak makan kat luar, tak perlu nak dukung lagi atau tinggalkan dalam stroller.


"Ammar Yusuf dah big boy tau!"

Dah memanjat dan berdiri, tapi masih perlu berpaut pada sesuatu.
Dah pandai tengok TV, especially iklan. Kalau tengah merangkak atau bermain atau even menyusu, akan berhenti sekejap bila iklan ditayangkan. Sebiji macam Oyah masa baby dulu :')
Dah tahu panggil Daddy. "Dadda! Dadda!" sambil kejar Daddy. Bila awak nak pandai sebut Mommy ni T_T. Tak apalah, huruf D kan sebelum M. Sebab itulah pandai sebut Dadda dulu (pujuk hati).
Dan 2-3 hari ini sangat banyak celotehnya, I mean, lebih banyak daripada biasa. Tengah nak belajar bercakap mungkin.
Dah makan macam-macam, makin seronok Mommy nak masak dan mempelbagaikan makanan dia. Sekarang sedang belajar self-feeding with finger foods.
Menyusu 20oz sepanjang siang, dengan 2 kali makanan semi-solid dan finger foods as snack. Makin BERATTTTT! Tapi badan steady tak gomok pun, sebab terlampau aktif!
Gigi baru ada 2 batang. Kekeke. Takpe-takpe. Lambat tumbuh lambat rosak :p
Dah pandai tiru mimik muka orang.


Ajuk muka Daddy. Bukan main lagi.

Setiap hari ada sahaja perkara baru dia belajar, dan setiap hari juga ada perkara baru yang kami belajar tentang dia. Ingatkan awal-awal kerja selepas pantang sahaja kami akan tak sabar-sabar nak balik rumah, tapi dah 9 bulan pun, kami masih lagi tak sabar-sabar nak balik rumah. Rindu :') Kalau tahu macam ini punya seronok ada anak, umur 18 tahun lagi aku dah kahwin kahkah! Gatal :p

Okay enjoy gambar-gambar budak baru masuk 9 bulan ini. Taken this morning, selepas nyanyi lagu Happy Birthday :D



Sejak ASTRO bagi tengok semua channel free ni, awai betei anak bujang ni bangun, tengok BabyTV. Lepas tu senyum sorang-sorang :/



Bila dah boring tengok TV, habis satu rumah di'sapu'nya. Jenuh Mommy nak sental seluar tu tahu!

"I love you Mommy!"

Terukir di bintang tak mungkin hilang cintaku padamu.. :')